Leong Jun Hao menjadi pemain perseorangan tunggal yang akan memikul cabaran Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 yang akan membuka tirai esok.
PETALING JAYA: Ketua jurulatih perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mengakui pemain perseorangan utama negara, Leong Jun Hao akan berdepan laluan sukar pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Jonassen bagaimanapun menganggap cabaran itu sebagai perkara biasa dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 kerana ia melibatkan penyertaan pemain-pemain berkaliber dan berkedudukan ranking terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Bagi saya, memang permulaan yang cukup sukar untuk dia (Jun Hao) tetapi dalam kejohanan bertaraf Super 1000, tidak ada perlawanan mudah. Secara peribadi, saya menganggap ia adalah permulaan untuk perjalanannya nanti.
“Memang benar dia berdepan aksi sukar menentang Lu Guang Zu. Bagaimanapun, saya anggap ia sebagai cabaran yang cukup menarik untuk Jun Hao,” katanya yang diperkenalkan secara rasmi 23 November lepas.
Pemain No.29 dunia itu dijangka berdepan permulaan sukar apabila dijadualkan bertemu wakil China, Lu Guang Zu di pusingan pertama dan ia akan menjadi penentu untuk pemain kelahiran Kuala Lumpur itu meneruskan kemaraan.
Terdahulu, Lii Zii Jia yang juga bekas juara Asia dan All England terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Malaysia kerana kecederaan ligamen buku lali kanan dialami masih belum pulih sepenuhnya.
Jonassen berkata, beliau hanya akan memantau terlebih dahulu dan memberi kepercayaan kepada jurulatih, K. Yogendran untuk mengemudi Jun Hao sepanjang Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil nanti.
“Saya akan duduk di kerusi kedua dan biarkan Yogendran jalankan tugasnya. Saya akan memantau terlebih dahulu sebelum bermula (tugas) minggu depan dan saya sudah tidak sabar,” katanya.


































