WASHINGTON: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan dasar rasmi negara itu hanya mempunyai dua jantina iaitu lelaki dan wanita.
Menurut Utusan Malaysia, pendirian itu disuarakan sebagai janji untuk ‘mengakhiri isu transgender yang tidak masuk akal’ menjelang hari pertama pentadbirannya.
Ia juga selaras dengan usaha Republikan untuk memperketatkan dasar terhadap komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ).
Semasa berucap dalam satu acara di Phoenix, Arizona, Trump menegaskan komitmennya untuk melaksana dasar tegas terhadap isu transgender, termasuk langkah yang menyasarkan komuniti tersebut di pelbagai sektor.
Ini termasuk langkah untuk menghalang golongan lelaki daripada menyertai sukan wanita.
Trump malah sempat mengkritik kepemimpinan Presiden, Joe Biden dan Timbalannya, Kamala Harris sepanjang mentadbir negara, empat tahun lalu.
“Pada 20 Januari ini, AS akan menutup lembaran empat tahun yang panjang, mengerikan dan penuh kegagalan, ketidakcekapan serta kemerosotan negara.
“Kita akan merasmikan era baharu yang penuh dengan keamanan, kemakmuran dan kebesaran negara,” kata Trump merujuk upacara angkat sumpahnya.
Isu transgender mencetuskan perdebatan hebat dalam politik AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila negeri dikuasai Demokrat dan Republikan bercanggah dalam dasar seperti rawatan perubatan dan buku mengenai topik yang dibenarkan di perpustakaan awam atau sekolah.
Ketika berucap di persidangan AmericaFest di negeri medan pertempuran yang dimenangi dalam Pilihan Raya Presiden, November lalu, Trump turut berjanji untuk mengambil langkah tegas terhadap ‘jenayah migran’ dan mengulangi komitmen memulihkan kawalan AS ke atas Terusan Panama.
“Saya akan mengakhiri perang di Ukraine. Saya akan menghentikan pergolakan di Asia Barat dan menghalang Perang Dunia Ketiga, itu janji saya.
“Saya dengan bangga mengisytiharkan zaman kegemilangan Amerika sudah tiba,” katanya tanpa menjelaskan rancangan untuk keamanan Ukraine.






























