BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menahan dua lelaki yang didakwa terlibat dalam insiden letupan bom di festival berhampiran sempadan dengan Myanmar yang meragut tiga nyawa dan mencederakan 48 yang lain.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian semalam, bahan letupan buatan sendiri dilempar di atas lantai tarian di sebuah festival di daerah Umphang di wilayah utara Tak.
Menurut polis, dua orang terbunuh di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.
Letupan itu turut mencederakan 48 orang dalam kalangan kira-kira 9,000 yang menghadiri majlis itu.
Polis memaklumkan menahan seorang pemuda Thailand dan seorang lelaki dipercayai ahli Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU), kumpulan pemberontak etnik minoriti yang memerangi tentera Myanmar selama beberapa dekad untuk mendapatkan autonomi di negeri Karen.
Ketua Polis Tak, Mejar Jeneral Samrit Ekamol berkata, suspek warga Myanmar itu melemparkan bom berkenaan selepas terserempak dengan samseng yang pernah dilawannya sebelum ini.
Pegawai kanan KNU menafikan sebarang penglibatan dan berkata kumpulan itu tidak mempunyai ahli di kawasan berkenaan.
Menurut penganalisis, KNU yang mempunyai lebih 5,000 pejuang, mengekalkan hubungan rapat dengan polis dan tentera Thailand, malah memiliki kepentingan perniagaan yang meluas di kedua-dua belah sempadan.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka dan menggesa agensi keselamatan menjalankan siasatan terhadap insiden itu.


































