MANILA: Sebuah gunung berapi meletus di tengah Filipina hari ini, mengeluarkan tiang abu besar ke udara, menyebabkan kerajaan mengarahkan pemindahan kampung berdekatan.
Menurut Utusan Malaysia, Kanlaon, setinggi 2,400 meter di atas paras laut di Pulau Negros, adalah satu daripada 24 gunung berapi aktif di Filipina.
“Letusan berlaku di lubang puncak Gunung Berapi Kanlaon pada 3.03 petang hari ini.
“Semua unit kerajaan tempatan dinasihatkan untuk mengosongkan radius 6 kilometer dari puncak gunung berapi dan mesti bersedia untuk pemindahan tambahan jika aktiviti memerlukan,” kata Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina dalam satu kenyataan.
Video dikongsikan penduduk berhampiran di media sosial menunjukkan jisim asap kelabu tebal keluar berkepul-kepul di atas kawah Gunung Kanlaon.
Pejabat seismologi melaporkan, tiang asap itu keluar sehingga 3,000 meter ke udara, dengan memuntahkan abu panas berwarna merah dan bahan lain di cerun tenggara gunung itu.
Aktiviti ini menunjukkan letusan magmatik bermula yang mungkin berkembang kepada letusan seterusnya, kata pejabat itu.
September lalu, ratusan penduduk berhampiran dipindahkan selepas gunung berapi itu memuntahkan beribu-ribu tan gas berbahaya dalam satu hari.
































