KOTA KINABALU: Insiden burung terlanggar engin menjadi punca pesawat AirAsia AK 5741 dari Tawau ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Tawau pada Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group, Datuk Kapten Chester Voo dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan oleh pasukan kejuruteraan mendapati punca amaran akibat burung terlanggar bahagian enjin pesawat berkenaan.
“Pesawat yang terlibat telah diperiksa secara menyeluruh, dibaiki dan kembali beroperasi seperti biasa. Penumpang pesawat meneruskan penerbangan dengan menaiki penerbangan berikutnya pada pukul 9.58 malam, hari yang sama.
“Mereka turut diberi pilihan untuk menukar penerbangan secara percuma, kredit dalam akaun atau bayaran balik penuh serta diberi baucar sebagai tanda penghargaan,” katanya.
Menurut Chester, AirAsia sentiasa memberi komitmen terhadap aspek keselamatan penumpang. Itu sebabnya semasa insiden berlaku, juruterbang dan kru AirAisa bertindak dengan pantas dan profesional mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Mengulas lanjut katanya, AirAsia bekerjasama dengan Malaysia Airports dan pihak berkepentingan sedang giat berusaha menangani risiko pelanggaran burung melalui Program Pengurusan Hidupan Liar yang memberi tumpuan untuk mengurangkan risiko perlanggaran burung di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti.
Jelas beliau, AirAsia sentiasa berusaha mengekalkan piawaian keselamatan untuk memastikan kesejahteraan penumpang dan kru pada setiap masa.
































