BUENOS AIRES: Seorang lelaki di Argentina dipenjarakan selama 21 hari selepas pihak berkuasa menyangka 18 bekas bedak bayi miliknya sebagai dadah jenis kokain.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian berlaku awal Oktober lalu apabila Maximiliano Acosta menaiki bas dari Mendoza menuju ke ibu negara, Buenos Aires.
Ketika bas itu diperiksa di kawasan La Paz, pihak Gendarmerie mendapati beliau membawa 18 bekas bedak bayi di dalam bagasi.
Walaupun Acosta menjelaskan ia adalah untuk kegunaan peribadi, beliau tetap ditahan kerana disyaki memiliki dadah.
Menurut kenyataan Gendarmerie pada 2 Oktober, pemeriksaan mendapati bedak bayi tersebut didakwa mengandungi 2.44 kilogram (kg) kokain.
Bagaimanapun, kesilapan itu hanya disedari selepas analisis makmal dilakukan hampir tiga minggu kemudian dan hasil ujian kedua menunjukkan serbuk putih itu hanyalah bedak bayi biasa.
Bagaimanapun, Acosta dipenjara selama 21 hari tanpa sebarang makluman kepada keluarga, manakala ibunya memberitahu media tidak mengetahui lokasi anaknya selama dua hari selepas penahanan.
“Kami menelefon banyak pihak, bertanya tentang senarai penumpang. Tiada siapa yang mengetahui. Kami sangat risau,” katanya.
Selepas dibebaskan, beliau tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak berkuasa, sebaliknya ditinggalkan di tepi jalan raya dan terpaksa menumpang kenderaan untuk pulang ke rumah.
Menurut ibu Acosta, beliau membawa 18 bekas bedak bayi itu ke Buenos Aires untuk dijual semula kerana menghadapi masalah kewangan.


































