ONTARIO: Seorang lelaki mengalami cedera parah selepas bertindak berani melompat ke atas seekor beruang kutub utara dalam usaha untuk melindungi isterinya daripada diserang oleh haiwan liar tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, polis dalam kenyataan memberitahu, lelaki terbabit mengalami kecederaan serius, namun dilaporkan stabil dan dijangka akan pulih.
Kejadian berlaku sekitar pukul 5 pagi Selasa lalu di Fort Severn First Nation, sebuah komuniti kecil dengan populasi 400 penduduk di utara Ontario.
Pasangan suami isteri tersebut dilaporkan keluar rumah untuk mencari anjing peliharaan, sebelum seekor beruang kutub yang berada di kawasan jalan masuk rumah mereka bertindak menyerang wanita terbabit.
“Wanita itu tergelincir ke tanah, dan suaminya dengan pantas melompat ke atas beruang bagi menghalang serangan.
“Beruang itu kemudiannya menyerang mangsa sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada bahagian tangan dan kaki,” demikian menurut kenyataan polis.
Seorang jiran yang mendengar kekecohan kemudian segera ke tempat kejadian dengan membawa senapang, lalu menembak beruang berkenaan beberapa kali sebelum binatang tersebut melarikan diri ke dalam hutan berdekatan dan ditemukan mati.
Mangsa kemudian dihantar ke pusat perubatan komuniti bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut Alysa McCall, saintis dari Polar Bear International, serangan beruang kutub terhadap manusia sangat jarang berlaku kerana binatang itu biasanya akan menjauhi kawasan penempatan manusia dan lebih suka memburu anjing laut di atas bongkah ais.
“Kebiasaannya, beruang yang menyerang manusia ialah beruang yang muda, kelaparan atau berada dalam keadaan yang tidak sihat,” katanya kepada BBC.


































