SAN FRANCISCO: Gempa bumi kuat 7.0 magnitud melanda pantai utara California, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Menurut Utusan Malaysia, amaran tsunami pada mulanya dikeluarkan di sepanjang pantai utara California dan selatan Oregon yang dihuni kira-kira 4.7 juta orang tetapi kemudiannya dibatalkan.
Pusat gempa bumi itu dikesan paling hampir dengan Ferndale, sebuah bandar kecil di Humboldt County kira-kira 418 kilometer (km) di utara San Francisco.
Pejabat Syerif Daerah Humboldt memberitahu CBS News, tiada kematian atau kemusnahan besar terhadap bangunan atau infrastruktur, tetapi beberapa rumah melaporkan kerosakan kecil.
Beberapa gempa susulan dilaporkan selepas gempa bumi awal, yang melanda sekitar pukul 10.44 pagi (waktu tempatan).
“Beberapa kawasan, termasuk bandar Berkeley di utara California mengeluarkan perintah pemindahan kerana ancaman kemungkinan tsunami.
“Puluhan kedai di kawasan itu melaporkan barangan mereka jatuh bertaburan dari rak,” katanya.
Menurut poweroutage.us, lebih 10,000 orang terputus bekalan elektrik di Humboldt County selepas gempa bumi melanda.
Seorang pemilik rumah penginapan di Gingerbread Mansion Inn di Ferndale, Olivia Cobian berkata, bahagian dalam bangunan di kawasan rumah pengiapannya kelihatan seperti ‘zon perang’.
“Keadaan di dalam bangunan kelihatan seperti bom meledak di setiap bilik.
“Pendiang besi besar kami turut beralih, semuanya runtuh dan patah,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Todd Dunaway yang sedang makan tengah hari di rumahnya di Fortuna, California ketika gempa bumi melanda turut berkongsi pengalaman serupa.
“Gegaran kuat itu benar-benar terasa seperti berdiri di atas tilam air gergasi.
“Bunyi tingkap dan dinding yang bergegar serta pinggan mangkuk dan perhiasan yang jatuh berselerakan juga amat mengerikan,” katanya.

































