SINGAPURA: TikTok akan menyekat pengguna remaja daripada menggunakan penapis kecantikan di aplikasi itu, dengan gergasi media sosial berkenaan bersiap sedia untuk melaksanakan dasar tersebut secara global.
Ini bermakna, penapis seperti membesarkan bibir, melangsingkan wajah dan melicinkan kulit tidak lagi tersedia untuk pengguna bawah 18 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, dalam satu kemas kini selepas Forum Keselamatan Eropah, TikTok pada Rabu mengumumkan bahawa perubahan dasar itu akan dilaksana dalam beberapa minggu akan datang.
Sebagai tambahan kepada larangan itu, platform terbabit juga akan menyediakan lebih banyak maklumat tentang bagaimana kesan tertentu boleh mengubah penampilan pengguna jika digunakan.
“Ini adalah tambahan kepada usaha sedia ada untuk memaklumkan pengguna secara proaktif apabila kesan tertentu digunakan pada kandungan,” kata TikTok.
Dasar sekatan umur untuk penapis kecantikan itu diperkenalkan susulan maklum balas daripada remaja melalui penyelidikan pelbagai pasaran yang dijalankan bersama organisasi bukan untung United Kingdom (UK), Internet Matters.
Penyelidikan itu mengkaji peranan platform dalam talian membentuk identiti dan hubungan remaja, melibatkan pandangan daripada golongan muda serta ibu bapa di Jerman, Belanda, Sweden dan UK.
Laporan yang diterbitkan pada Rabu itu mendedahkan, pandangan baharu mengenai penggunaan penapis oleh remaja dan kesannya terhadap persepsi diri mereka.