KOTA KINABALU: Kajian penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendedahkan pelbagai herba tempatan seperti buah durian belanda dan sarang burung, berpotensi dikomersialkan sebagai produk kecantikan dan kesihatan organik yang lebih selamat dan bebas bahan kimia berbahaya.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, banyak lagi tanaman herba seperti sacha inchi, konjac dan guarana yang terdapat di Sabah juga memiliki potensi untuk ditanam secara besar-besaran dan dipasarkan ke peringkat global.
“Kita sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai nilai dan tradisi tersendiri dalam penjagaan kecantikan dan kesihatan. Di Sabah, kecantikan wanita suku kaum tempatan sememangnya terkenal di seluruh negara. Sebagai orang muda, saya sendiri sering melihat cerita tentang kecantikan ‘sumandak’ Sabah yang viral di akaun media sosial saya.
“Oleh itu, saya melihat konsep Sabah@Sumandak Beauty atau S-Beauty mempunyai potensi besar untuk dikembangkan menjadi sebuah industri yang melahirkan usahawan dalam bidang produk kecantikan, kesihatan dan produk sampingan lain yang berdaya maju,” katanya.
“Saya berharap konsep dan jenama S-Beauty ini dapat dipromosikan sehingga peringkat global sebagaimana negara Korea mempromosikan K-Beauty atau Korea Beauty. Faktanya K-Beauty Expo Korea 2024 yang diadakan di KINTEX Seoul bulan lepas telah mencatatkan kehadiran seramai 39,000 orang pengunjung, 411 pempamer, 608 reruai dan 9,000 orang pembeli luar Korea,” katanya ketika merasmikan Sabah International Beauty Expo (SIBEX) 2024 di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Perhubungan Awam, Amos Thien Tze Tin.
Phoong menjelaskan bahawa industri kecantikan dan kesihatan yang merangkumi pelbagai segmen seperti produk penjagaan kulit, rawatan estetik, makanan kesihatan tambahan, dan perkhidmatan kesihatan sedang berkembang pesat, baik di Malaysia mahupun global.
Menurut kajian McKinsey, industri ini dijangka mencapai nilai USD90 bilion secara global pada tahun 2028. Di Malaysia pula, nilai pasaran industri kecantikan dan kesihatan dijangka mencapai USD999 juta menjelang 2026.
Beliau turut menekankan potensi besar yang boleh diterokai oleh generasi muda dalam bidang seperti estetik, dermatologi, dan kosmetologi.
“Sebagai contoh, pasaran global bagi perubatan estetik dan dermatologi pada tahun 2023 bernilai RM8.49 trilion dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 12 peratus dari tahun 2024 hingga 2032.
“Di Malaysia, sektor perubatan estetik menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan. Pendapatan klinik perubatan estetik meningkat sebanyak 30.8 peratus dari 2019 hingga 2021. Pada 2022, pasaran domestik dianggarkan berjumlah RM468.8 juta dan dijangka berkembang pada CAGR sebanyak 18.8 peratus, mencecah RM1.03 bilion menjelang 2027.
“Oleh itu, saya menyeru anak muda Sabah yang cemerlang dalam akademik untuk mempertimbangkan bidang ini. Selain itu, bidang kosmetologi juga menawarkan prospek cerah. Biarlah selepas ini, kita mendengar orang berkata, ‘Nak cantik, datanglah ke Sabah. Tak perlu lagi terbang ke Korea’,” katanya.
Phoong turut menegaskan bahawa kementeriannya bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk memajukan industri ini dan mencapai sasaran nilai jualan RM50 juta oleh usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada tahun 2024.
Beliau juga berharap SIBEX 2024 dapat mencapai sasaran 35,000 pengunjung melalui 201 reruai yang mewakili 250 jenama produk tempatan dan antarabangsa.
“Harapan kita adalah untuk menjadikan SIBEX 2024 penanda aras sebagai ekspo kecantikan dan kesihatan antarabangsa yang berprestij dan memberikan impak yang tinggi,” tambahnya.