Anggota bomba mengusung mayat salah seorang mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil, Hulu Terengganu, petang tadi.
HULU TERENGGANU: Dua beradik maut manakala seorang lagi cedera setelah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil, dekat sini, petang tadi.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa yang maut ialah Puteri Sajidah Azman,16, dan Siti Fatimah Azman, 13, manakala abang mereka Uzair Azman,17, yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Dalam kejadian itu, dua beradik lagi yang berada dalam rumah itu berjaya menyelamatkan diri, manakala ibu mereka merupakan seorang ibu tunggal dan seorang lagi anaknya pula tidak berada di rumah.
Rumah keluarga tersebut terletak berdekatan lereng bukit.
Pengarah Bomba Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 4.59 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi, didapati tiga mangsa tertimbus. Mangsa pertama (Uzair) yang cedera dapat dikeluarkan pukul 5.17 petang selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
“Mangsa kedua (Puteri Sajidah) berjaya dikeluarkan pukul 6.32 petang manakala yang ketiga (Siti Fatimah) pukul 6.59 petang.
“Kedudukan kedua-dua mangsa perempuan ini berdekatan antara satu sama lain.
“Berdasarkan lakaran rumah, tiga mangsa dipercayai berada di bahagian hadapan rumah berkemungkinan ruang tamu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, malam ini.
Tambah beliau, kesemua mangsa telah dibawa ke HSNZ.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat yang disertai seramai 36 pegawai dan anggota tamat pukul 7 petang.