Keadaan mayat Mohd. Syafiq Mohd. Nasir @ Mazlan maut yang terjatuh ke dalam longkang selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kampung Gong Kepas, Setiu, hari ini.
SETIU: Seorang lelaki ditemukan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum mangsa terjatuh ke dalam longkang di Kampung Gong Kepas Dalam di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md. Saleh berkata, nahas berlaku ketika Mohd. Syafiq Mohd. Nasir @ Mazlan, 36, dalam perjalanan ke Surau Alor Jernih kira-kira pukul 6.15 pagi tadi.
Menurutnya, polis menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 8.40 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.15 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego LC dalam perjalanan ke Surau Alor Jernih, Gong Kepas Dalam.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki secara tiba-tiba hilang kawalan dan telah terbabas ke tepi jalan sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam longkang dipenuhi air,” katanya.
Mang ditemukan kira-kira pukul 7. 50 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.