SEOUL: Korea Selatan bergelut dengan salji lebat untuk hari kedua, menyebabkan puluhan penerbangan dibatalkan, operasi feri digantung dan sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan maut.
Menurut Utusan Malaysia, salji musim sejuk kali ini merupakan yang ketiga paling lebat di Seoul sejak rekod bermula pada 1907, lapor agensi berita Yonhap, memetik data dari bandar itu.
Lebih 40 sentimeter (cm) salji direkodkan di bahagian Seoul menjelang pukul 8 pagi, menyebabkan lebih 140 penerbangan dibatalkan.
Namun, pihak berkuasa cuaca menarik balik amaran salji lebat di kawasan metropolitan di ibu negara, menjelang pukul 10 pagi (waktu tempatan), hari ini.
Seorang maut dan dua cedera di sebuah padang golf apabila jaring yang dipenuhi salji runtuh semalam, manakala seorang lagi terbunuh dalam insiden sama apabila khemah pelindung di tempat letak kereta runtuh, menurut laporan media.
Sementara itu, kemalangan jalan raya di lebuh raya timur ibu negara turut meragut sekurang-kurangnya dua nyawa.
Polis melaporkan, 11 orang cedera dalam kemalangan melibatkan 53 kenderaan di sebuah lebuh raya di bandar Wonju, wilayah Gangwon, semalam.
Lapangan terbang utama Seoul, Incheon, menjadi kawasan paling terjejas apabila penumpang berdepan kelewatan sehingga dua jam.
Data daripada laman penjejakan penerbangan Flightradar24 menunjukkan, 14 peratus penerbangan ditunda dan 15 peratus dibatalkan, hari ini.
Pihak berkuasa melaporkan, kira-kira 142 penerbangan dibatalkan dan operasi 99 feri di 76 laluan digantung, manakala kelewatan turut berlaku pada perkhidmatan kereta api.
Sekolah di wilayah Gyeonggi bersebelahan Seoul turut dibenarkan ditutup hari ini, menurut pihak berkuasa wilayah.