Pandemik tanpa sengaja melorongkan anak jati Sarawak, Michelle Lungan melangkah ke industri lakonan ketika bekerja di stesen televisyen TVS beberapa tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, ketika itu dia mula berjinak-jinak berlakon untuk drama bersiri televisyen sebelum menerima tawaran sebagai watak utama di filem Tekang.
Menariknya, watak Rinai dalam naskhah itu seperti benar-benar dicipta untuk Michelle iaitu seorang gadis suku Kelabit dan boleh bertutur bahasa tersebut dengan fasih. Namun begitu, bagiMichelle, penglihatannya dalam naskhah itu tidak hanya satu kesempatan mempromosikan keunikan Sarawak, malah membawanya pulang mengingati kenangan bersama arwah datuknya, Mawan Bala Titi Maran.
Ujarnya, dia dibesarkan oleh arwah datuk dan neneknya di sebuah kampung yang terletak di Serian, Sarawak. Hanya apabila umurnya sudah menginjak ke sekolah menengah, barulah dia tinggal bersama ibu bapanya di Kuching. Oleh itu, banyak kenangan bersama arwah datuk yang tidak boleh dilupakan.
Tambahan pula, penggambaran dilakukan di Bario, iaitu tempat yang sering dibawa arwah datuk semasa dirinya membesar.
“Datuk saya berketurunan Kelabit, sebab itu saya boleh bercakap bahasa mereka dengan fasih. Saya buat banyak perkara pertama kali dengan datuk. Dahulu, dialah yang pertama kali bawa saya jalan-jalan ke Bario.
“Apabila arwah meninggal, saya tidak boleh menjejaki Bario. Rasanya sudah empat tahun. Cuma ketika diminta datang ke Bario untuk meninjau lokasi penggambaran, waktu itu saya menangis teruk kerana merindui arwah.
“Namun apabila datang sekali lagi untuk penggambaran, saya sudah boleh mengawal emosi,” katanya.
Tambahnya, arwah meninggal dunia mengejut semasa pandemik membuatkan dirinya belum bersedia menerima pemergian datuk. Namun begitu, menjalani penggambaran naskhah yang mengangkat kaum Kelabit membuatkan Michelle yakin bahawa pasti arwah akan bangga dengan usaha dilakukannya hari ini.
Bercerita lanjut mengenai pengalaman menghidupkan watak Rinai, Michelle mengakui karakter tersebut sangat berbeza dengan dirinya.
“Sebenarnya kaum Kelabit memang dikenali dengan sikap mereka yang sangat santun. Kalau mereka marah pun tidak nampak seperti marah. Sikap lemah lembut Rinai sangat berbeza dengan diri saya yang kasar.
“Selain itu, kami juga hadapi kekangan dari segi kemudahan kerana di Bario masih ada tempat yang menggunakan tenaga elektrik daripada penjana. Kami pula tiada akses terhadap internet kerana ketiadaan wifi.
“Lebih lucu, mungkin kerana faktor cuaca, ada suatu masa saya dan juga beberapa kru jatuh sakit menyebabkan penggambaran terpaksa ditangguhkan,” jelasnya.
Tegkang menceritakan kehidupan di sebuah kampung terpencil di Bario, di mana rahsia yang sudah lama tersimpan mula terdedah dengan kehadiran pelancong iaitu Hanafi yang berkawan dengan Rinai, seorang gadis yang menetap di kampung berkenaan.
Filem ini akan bertemu penonton di panggung pada 28 November ini.