HANGZHOU: Sebuah kedai fesyen terkenal di China mencetuskan kontroversi apabila mempamerkan produk mereka menggunakan model manusia, menggantikan patung mannequin konvensional.
Menurut Utusan Malaysia, kedai jenama ITIB di Hangzhou berkata, pendekatan ini bertujuan memberi peluang kepada pelanggan untuk melihat bagaimana pakaian kelihatan semasa pergerakan, berbanding posisi statik seperti yang biasa dilakukan.
Namun, ramai yang berpendapat ia hanyalah strategi pemasaran untuk menarik perhatian.
Taktik itu terbukti berjaya apabila video model berjalan di atas treadmill kecil di luar kedai utama ITIB menjadi tular di media sosial, menarik perhatian ramai yang berhimpun untuk menyaksikan sendiri ‘pertunjukan’ tersebut.
Namun, di sebalik pujian terhadap kreativiti itu, kedai berkenaan berdepan kritikan hebat berhubung isu eksploitasi terhadap model-model muda.
“Ini tidak berperikemanusiaan. Kaki mereka pasti sakit dan apabila kita sudah ada mannequin biasa, kenapa perlu sampai begini?” soal seorang pengguna media sosial Weibo.
“Konsep ini mungkin menarik untuk menunjukkan rekaan pakaian semasa bergerak, tetapi mereka boleh saja menggunakan model bergerak biasa tanpa treadmill. Tindakan ini seperti memperlakukan model seperti haiwan eksperimen. Ini tidak wajar,” komen pengguna lain.
Sebahagian kecil pihak menyokong idea itu dengan mengatakan ia adalah pendekatan pemasaran yang bijak dan sihat untuk model, tetapi pandangan tersebut jauh lebih kecil berbanding gelombang kritikan yang diterima.
Video model berjalan atas treadmill tersebut sebenarnya mula muncul pada Disember 2023, apabila ia dikongsi oleh akaun Instagram China Insider.
Meskipun berdepan kecaman, jenama ITIB dilaporkan masih bertahan sehingga kini, dipercayai telah berjaya bangkit daripada kontroversi tersebut.
































