GUJARAT: Sebuah keluarga di India tular selepas menganjurkan majlis ‘pengebumian’ untuk kereta lama mereka, Suzuki Wagon R, dalam satu upacara penuh meriah yang dihadiri lebih 1,500 orang di Kampung Padarshinga, Gujarat.
Menurut Utusan Malaysia, keluarga Polara, yang menganggap kereta model hatchback berusia 18 tahun itu sebagai ‘kereta bertuah’ mereka, memilih untuk mengabadikannya melalui upacara istimewa berbanding menjualnya ke pusat kitar semula.
Ketua keluarga, Sanjay Polara, berkata, meskipun beliau memiliki kereta mewah lain seperti Audi, Suzuki Wagon R itu dianggap memainkan peranan besar dalam membawa kejayaan kepada keluarga mereka.
“Kami mahu menghormati kereta ini kerana ia lebih daripada sekadar kenderaan. Ia adalah sebahagian daripada perjalanan kejayaan keluarga kami. Kami ingin meninggalkan kenangan abadi untuk generasi akan datang,” ujar Sanjay kepada media.
Dalam upacara yang menelan kos lebih AS$4,500 (RM21,000), sebuah lubang sedalam 4.5 meter telah digali di tanah milik keluarga tersebut.
Kereta itu kemudian dihias dengan bunga dan kalungan berwarna-warni, sebelum diturunkan perlahan-lahan ke dalam lubang melalui cerun yang dibina khas, diringi alunan muzik menggunakan pembesar suara mudah alih ketika majlis berlangsung.
Kereta itu juga ditutupi kain hijau sebelum keluarga tersebut menjalankan pelbagai ritual keagamaan sebagai penghormatan terakhir.
Sanjay, seorang pemilik perniagaan pembinaan di Surat, turut merancang untuk menanam sebatang pokok di atas ‘pusara’ kereta itu sebagai tanda peringatan untuk generasi akan datang.
Malah, sebuah kuil kecil turut dibina di kawasan itu sebagai penghormatan kepada Suzuki Wagon R tersebut.
“Kereta ini adalah simbol keberuntungan kami. Ia layak menerima penghormatan ini kerana jasanya kepada keluarga kami,” tambahnya.


































