Penduduk dan nelayan di Bandar Legaspi, wilayah Albay mengangkat bot kayu ke tempat selamat selepas amaran Taufan Super Man-yi dikeluarkan, semalam.
MANILA: Pihak berkuasa Filipina mengarahkan semua kapal kembali ke pantai dan penduduk di kawasan pesisir berpindah, berikutan Taufan Man-yi menghampiri negara kepulauan itu.
Menurut Utusan Malaysia, Man-yi akan menjadi ribut kuat keenam yang melanda Filipina dalam sebulan, selepas bencana sama mengorbankan sekurang-kurangnya 163 orang dan menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal.
Dengan kelajuan angin sehingga 215 kilometer sejam, Man-yi dijangka membadai pulau Catanduanes yang kurang pada penduduk lewat Sabtu dan Ahad.
Timbalan Setiausaha Dalam Negeri, Marlo Iringan berkata, kira-kira 255,000 orang dipindahkan dari kawasan berisiko tanah runtuh, banjir dan ombak besar, termasuk menggesa orang ramai mematuhi amaran pemindahan.
“Sekiranya pemindahan awal diperlukan, marilah berbiat demikian dan jangan menunggu saat bahaya kerana ia merisikokan nyawa kita dan pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Pakar memberi amaran perubahan iklim meningkatkan kekuatan ribut, yang membawa kepada hujan lebat, banjir kilat serta angin kencang.
Pusat pemindahan di Pulau Catanduanes, di wilayah Bicol semakin padat dengan mangsa yang berlindung daripada taufan.
Lebih 400 mangsa kini ditempatkan di bangunan kerajaan wilayah di ibu kota Virac, dan sebahagian lagi akan dihantar ke gimnasium, kata pegawai bencana wilayah, Roberto Monterola.
Peramal cuaca menjangkakan, taufan Man-yi akan menguat apabila ia menghampiri Filipina dan boleh mencapai kategori taufan super dalam tempoh beberapa jam.


































