Hajiji (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian subpajakan antara Victor (kiri) dan Chen (kanan).
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor hari ini menyaksikan pertukaran dokumen antara SBH Kibing Solar New Energy (M) Sdn. Bhd. dan dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah bagi kilang pembuatan kaca solar bernilai RM7.2 bilion yang baru di Kimanis.
Ketua Menteri berkata, pelaburan baharu ini penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi Sabah dan mencipta peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan.
Pertukaran pertama adalah perjanjian subpajakan antara SBH Kibing dan Fokasrama Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik penuh Kumpulan Sawit Kinabalu.
Perjanjian subpajakan ini akan membuka laluan kepada pembangunan kilang pembuatan kaca solar berteknologi tinggi, yang dijangka menjadi salah satu kemudahan terbesar seumpamanya di rantau ini.
Pembangunan ini adalah sebahagian daripada rancangan SBH Kibing yang bertujuan untuk memperluaskan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui Sabah, memperkukuh kedudukannya dalam pasaran tenaga solar global dan melengkapkan kilang sedia ada syarikat yang berpangkalan di China itu yang beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Hajiji (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Perjanjian Induk antara Adzmir (kiri) dan Li.
Kemudahan kaca solar baharu ini turut menekankan komitmen Kibing terhadap pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui di Sabah dan menubuhkan tapak pembuatan utama di Sabah.
Mewakili Fokasrama adalah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, manakala Pengerusi, William Chen mewakili SBH Kibing Solar New Energy (M) Sdn. Bhd.
Pertukaran dokumen kedua adalah untuk Perjanjian Induk antara SBH Kibing Solar New Energy (M) dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) bagi membekalkan 45 juta kaki padu standard gas asli sehari (mmscfd) untuk menyokong operasi kilang baharu tersebut.
Sebagai pembekal utama gas asli di Sabah, SEC terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serantau melalui penyelesaian tenaga yang boleh diharap dan bersih.
Mewakili SEC adalah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzmir Abd Rahman manakala Timbalan Pengarah Urusan SBH Kibing Solar New Energy, Celine Li menandatangani bagi pihak syarikat.
Turut hadir adalah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub, Setiausaha Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong serta pegawai kanan yang mewakili pihak yang menandatangani perjanjian.
Ketua Menteri kemudiannya mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera.


































