Anthony Loke
KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri Persekutuan pada 8 November 2024 telah meluluskan cadangan projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek ini dijangka mengambil masa 48 bulan, dengan fasa pra-pembinaan bermula pada 2024, dan pembinaan dijangka siap pada 2027.
Katanya, projek ini menelan kos RM442.30 juta, dibiayai sepenuhnya oleh inisiatif
pembiayaan swasta oleh MAHB tanpa melibatkan jaminan Kerajaan.
Skop projek naik taraf ini melibatkan:
- Pembesaran Terminal Utama – Menambah kapasiti terminal dari 9 juta kepada 12 juta penumpang setahun, memastikan pengalaman perjalanan yang selesa dan lancar.
- Kemudahan Baharu – Pembinaan kawasan parkir bertingkat dan tambahan tujuh ruangan parkir pesawat (apron).
- Infrastruktur Sokongan – Penambahbaikan jalan raya sekitar
lapangan terbang dan penggunaan teknologi hijau. - Adaptasi Teknologi Airport 4.0 – Mengintegrasikan automasi dan teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Loke berkata, LTAKK kini berkapasiti 9 juta penumpang setahun (million passengers per annum, mppa), menjadikannya lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA).
Pada tahun 2019, LTAKK telah mencatat kapasiti penumpang sebanyak 9.4 mppa, melebihi kapasiti semasa.
“Walaupun penurunan dicatatkan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19, jumlah penumpang kembali meningkat pada 2023 kepada 7 mppa.
“Berdasarkan unjuran, jumlah ini dijangka meningkat kepada 12.4 mppa menjelang 2034,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehingga Oktober 2024, LTAKK telah mencatat jumlah penumpang sebanyak 6.6 juta, meningkat 13.4% berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Loke berkata, projek menaik taraf LTAKK ini adalah satu komitmen kerajaan dalam memastikan infrastruktur di Sabah bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, tetapi juga bersedia menghadapi permintaan masa depan.
“Saya yakin pelaburan ini bukan sahaja akan memberi pulangan kepada
MAHB, tetapi juga akan membuka pintu peluang dan kemakmuran untuk
rakyat Sabah dan negara kita.
“Kerjasama Strategik Kementerian Pengangkutan menghargai sokongan daripada Kerajaan Negeri Sabah dan MAHB dalam menjayakan projek ini.
“Kementerian akan terus melibatkan pihak berkepentingan bagi memastikan
pelaksanaan projek berjalan lancar dan memberikan impak positif kepada negeri Sabah dan negara,” katanya.

































