WASHINGTON: Lebih 75 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) sudah membuang undi awal pada pilihan raya presiden AS, menurut data yang dikeluarkan Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, angka-angka dari penjejak Makmal Pilihan Raya Universiti Florida menunjukkan 75,093,872 orang sudah mengundi sama ada melalui pos atau secara bersemuka di pusat pengundian.
Lebih ramai pengundi memilih untuk mengundi secara fizikal berbanding melalui pos pada pilihan raya presiden kali ini.
Jumlah pengundi berdaftar di AS adalah kira-kira 168 juta orang, tidak seperti pada 2020, ketika AS berada di tengah-tengah pandemik Covid-19.
Calon presiden Demokrat, Kamala Harris dan pesaingnya dari Republikan, Donald Trump, mengadakan perhimpunan di negeri-negeri penentu kurang dua hari sebelum pilihan raya diadakan.
Harris mengadakan perhimpunan di Atlanta, Georgia, dan menghadiri acara di Charlotte, North Carolina.
Trump pula dilaporkan berkempen di Gastonia, North Carolina, kemudian mengembara ke Salem, Virginia, sebelum kembali ke Greensboro, North Carolina.
Tinjauan menunjukkan Harris dan Trump berada dalam persaingan sengit, terutamanya di tujuh negeri utama.
Tinjauan menerusi telefon dan dalam talian oleh Rasmussen Reports bersama penerbitan konservatif American Thinker menunjukkan jika pilihan raya diadakan hari ini, 49 peratus pengundi yang berkemungkinan besar di Michigan akan memilih Harris, manakala 48 peratus akan memilih Trump.
Negeri-negeri penentu penting kerana AS tidak memilih presiden secara langsung.
Prosesnya berlaku melalui Kolej Pilihan Raya, dengan 538 wakil mengundi berdasarkan keputusan negeri masing-masing.
Seorang calon perlu memperoleh 270 undian kolej untuk memenangi pilihan raya.