Sehingga kini, pelakon cantik, Nora Danish masih mengunci mulut tentang punca perpisahannya dengan bekas suami, Nedim Nazri. Baginya, biarlah itu kekal rahsia antara mereka.
Menurut Utusan Malaysia, ramai yang memuji tindakannya. Di kala ada yang mudah membuka cerita, dia senang dengan pilihan privasi. Menjalani kehidupan tanpa tekanan untuk menjelaskan apa-apa yang berlaku dalam kehidupannya.
Apabila namanya juga tersenarai dalam janda ‘hot’ untuk dihalalkan, Nora juga mengambil pendekatan untuk tidak mudah melenting. Namun, tidakkah dia berkecil hati? Seolah ‘dihina’ hanya kerana status janda?
Bagaimana pula dengan karier seninya selepas berhijab? Adakah dia terus aktif atau tiba masa untuk dia fokus mengejar ilmu? Nora, Jawablah!
J: Baru-baru ini, kecoh kononnya nama Nora pun tersenarai dalam carta janda yang harus dihalalkan. Nora terasa hati dengan ‘usikan’ warganet itu? Ada pelakon wanita yang sedih diperlakukan begitu?
N: Saya sudah lama dalam industri seni. Saya tak anggap itu satu tekanan atau penghinaan pun. Saya lihat dari sudut jenaka sahaja. Kecualilah kalau menyentuh nama baik keluarga dan anak-anak.
Saya cuma mahukan hidup yang sederhana sahaja. Tak mahu stres atau terlalu memikirkan perkara yang remeh. Saya anggap semua itu gurauan. Mungkin dorang anggap itu trend sekarang.
Tetapi saya tidak mewakili mana-mana individu lain. Saya bercakap untuk diri sendiri sahaja. Saya mahu fikir positif.
J: Nora maklum tak dengan senarai ‘janda hot’ tersebut?
N: Kawan-kawan saya ada maklumkan. Tapi macam saya cakap, bukan sesuatu yang harus difikirkan sangat.
J: Baru-baru ini juga, kecoh pula cuplikan audio siar antara Nora. Ramai yang beranggapan apa yang diperkatakan oleh Nora dalam video tersebut merujuk kepada masalah rumah tangga Nora sebelum ini?
N: Oh itu saya perlu tegaskan, apa yang dikatakan saya itu adalah secara umum. Tidak ada kena mengena pun dengan rumah tangga saya dan bekas suami. Jangan mudah buat kesimpulan sendiri.
Dengan keadaan sekarang, kita sendiri pelik mengapa banyak rumah tangga yang gagal. Tidak semestinya soal kewangan sahaja, banyak sebab lain yang memungkinkan perpisahan itu berlaku.
J: Ada juga pihak yang kurang senang dengan audio siar tersebut yang dikatakan ‘sengaja’ ditayang ketika isu panas perceraian antara dua selebriti?
N: Kami membuat rakaman tersebut pada Julai tahun ini. Lama juga kami peram. Kami juga tidak merujuk kepada sesiapa pun. Masa hendak tayang, kami risau juga kalau video tersebut menyinggung pihak-pihak tertentu.
Kami beranggapan, apa yang kami bualkan tidak berpihak atau menyentuh hal orang lain. Itu adalah perkongsian ilmu kerana kami masing-masing pernah melalui fasa bujang, berkahwin dan bercerai.
Jadi ada tiga sudut pandang berbeza. Pengalaman dan impian masing-masing.
J: Ramai yang memuji penampilan dan penhijarahan Nora sekarang. Lebih tenang dengan penampilan sekarang?
N: Alhamdulillah, saya seperti orang lain juga mengharapkan agar Tuhan memberikan kekuatan untuk terus berpegang kepada niat asal penhijrahan itu. Kita masing-masing ada dugaannya sendiri kan.
Sebab itu saya perlu rajinkan diri untuk ke kelas agama. Kembali belajar tentang keindahan Islam.
J: Bagaimana pula dengan kerjaya seni?
N: Masih seperti biasa, tidak ada perubahan besar kecuali saya sudah berhijab. Saya juga bakal muncul dengan drama Langit Ke Tujuh. Drama pertama selepas berhijab.