Teo Jia Xin
LONDON: Seorang pelajar Malaysia yang didakwa di United Kingdom (UK) kerana membunuh bayinya yang baru dilahirkan, dihukum penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 17 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Mahkamah Mahkota Warwick dilaporkan menjatuhkan hukuman itu ke atas Teo Jia Xin, 22, pada Jumaat selepas disabitkan atas kesalahan membunuh.
Jia Xin dilaporkan memasukkan bayinya ke dalam kotak bijirin sejurus melahirkannya pada 4 Mac lalu dan menyembunyikan kotak itu dalam sebuah beg pakaian.
Polis menemui bayi berkenaan dua hari kemudian, di mana ketika itu bayi terbabit sudah meninggal dunia.
Jia Xin menafikan membunuh bayinya, sebaliknya mendakwa dia mendengar suara yang mengarahkannya untuk membunuh anak itu.
Namun, juri menolak pembelaannya dan mendapati dia bersalah atas pertuduhan membunuh.
James Leslie Francis daripada Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota UK (CPS) berkata, Jia Xin menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dikenalinya dan tiba di UK dengan mengetahui bahawa dia mungkin akan melahirkan bayi itu di negara tersebut.
“Dia mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan tetapi sebaliknya memilih untuk merahsiakannya, malah sanggup berbohong kepada orang yang rapat dengannya, penyedia penjagaan kesihatan dan polis.
“Bayinya masih hidup selepas dilahirkan dan boleh bertahan, namun Jia Xin membuat keputusan untuk meletakkannya di dalam kotak bijirin, dengan mengetahui bahawa tindakan itu akan membunuhnya,” katanya.
Polis West Midlands dipanggil ke kediaman wanita itu dua hari selepas beliau mendapatkan rawatan di hospital dengan tanda-tanda baru melahirkan anak.
Ketika ditanya oleh kakitangan hospital sama ada beliau baru melahirkan anak, Jia Xin menafikan perkara tersebut.
Namun selepas soal siasat polis, beliau akhirnya mengaku telah melahirkan bayi itu yang membawa kepada penahanannya.
































