Fenomena godoksa mencerminkan masalah pengasingan yang semakin serius di Korea Selatan.
SEOUL: Setiap tahun, ribuan orang di Korea Selatan, terutama lelaki pertengahan umur, meninggal dunia sendirian tanpa diketahui keluarga atau rakan terdekat, sehingga terdapat mayat mereka ditemukan selepas berhari-hari atau beberapa minggu kemudian.
Menurut Utusan Malaysia, fenomena ini dikenali sebagai ‘kematian sepi’ atau godoksa dalam bahasa Korea, yang mencerminkan masalah pengasingan yang semakin serius di negara itu.
Sebagai usaha menangani isu ini, pihak berkuasa Seoul mengumumkan rancangan untuk membelanjakan 451.3 bilion won (RM1.4 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mewujudkan bandar bebas individu yang merasakan kesunyian.
Menurut kerajaan Seoul, inisiatif itu meliputi perkhidmatan kaunselor melalui talian hotline 24 jam seminggu, platform kaunseling dalam talian dan langkah susulan melibatkan lawatan serta konsultasi secara peribadi.
“Kesunyian dan pengasingan bukan sahaja masalah individu, tetapi tanggungjawab yang perlu diselesaikan bersama oleh masyarakat.
“Kita akan menggerakkan semua kapasiti perbandaran untuk membantu individu yang kesunyian pulih dan kembali terlibat dalam masyarakat,” kata Datuk Bandar Seoul, Oh Se-hoon dalam satu kenyataan.
Masalah kesunyian mendapat perhatian negara sejak sedekad lalu apabila seiring dengan peningkatan isu berkaitan, seperti kes bunuh diri golongan muda atau pengasingan di rumah selama berbulan-bulan.
Menurut angka terkini Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan, jumlah kes mati sendirian meningkat, mencapai 3,661 tahun lalu berbanding 3,559 pada 2022 dan 3,378 pada 2021.






























