AV1 dilengkapi dengan kamera, mikrofon dan pembesar suara.
LONDON: Sebuah syarikat di Norway membangunkan robot AV1 yang berfungsi menggantikan pelajar yang tidak hadir ke sekolah untuk menghadiri sesi pembelajaran di dalam kelas.
Menurut Utusan Malaysia, teknologi ini dicipta untuk membantu kanak-kanak yang tidak dapat menghadiri sesi persekolahan kerana mengalami penyakit kronik atau menghadapi masalah kesihatan mental.
AV1 akan bertindak sebagai mata, telinga dan suara mereka serta membantu pelajar bermasalah untuk kekal berhubung dengan rakan sekelas.
Robot ini kelihatan seperti versi ringkas kepala dan badan manusia. Ia boleh berputar 360 darjah dan dilengkapi dengan kamera, mikrofon serta pembesar suara.
Guru perlu meletakkannya di atas meja dalam bilik darjah dan pelajar hanya perlu mengawal robot itu dari jarak jauh menggunakan aplikasi yang diberi kata laluan peribadi.
“Mereka boleh mengetik atau meleret jari di sekitar skrin untuk melihat sudut-sudut berbeza dalam bilik darjah,” kata Pengarah Pemasaran No Isolation, Florence Salisbury.
Beliau berkata, pelajar boleh bercakap dengan guru atau rakan sekelas melalui pembesar suara dan aplikasi tersebut mempunyai pilihan ‘angkat tangan’ yang membuat cahaya berkelip pada kepala robot.
Mereka juga boleh memilih emoji yang akan dipaparkan di mata robot.
Salisbury berkata, terdapat 3,000 unit AV1 di 17 negara, kebanyakannya di United Kingdom (UK) dan Jerman, dengan kedua-dua negara mempunyai lebih 1,000 robot yang beroperasi.
Di UK, sekolah boleh menyewa AV1 dengan harga sekitar AS$200 (RM857) sebulan atau memilih pembelian dengan harga AS$4,960 (RM21,260), bersama pakej perkhidmatan tambahan kira-kira AS$1,045 (RM4,478) setiap tahun.
Menurut statistik terkini, lebih 19 peratus pelajar di England sering tidak hadir ke sekolah pada musim luruh 2023/2024, dengan 7.8 peratus disebabkan oleh masalah kesihatan.






























