LONDON: Seorang doktor Britain mengaku bersalah kerana cuba membunuh pasangan ibunya dengan suntikan racun, kononnya vaksin Covid-19 melalui pemalsuan dokumen perubatan.
Menurut Utusan Malaysia, Thomas Kwan, 53, menyamar sebagai jururawat dan cuba menyuntik racun kepada pasangan ibunya, Patrick O’Hara di Newcastle, England utara.
Pihak pendakwa berkata, mangsa yang terselamat mengalami fasciitis nekrotik, jangkitan bakteria pemakan daging yang berpotensi membawa maut, selepas menerima suntikan tersebut.
Kwan, seorang doktor keluarga di Sunderland, mengaku bersalah atas cubaan membunuh itu, selepas pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Newcastle bermula minggu lalu.
Sebelum ini, dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberikan bahan berbahaya.
Pendakwa raya, Peter Makepeace berkata, Kwan bimbang wasiat ibunya iaitu rumah mereka diwarisi oleh O’Hara jika wanita terbabit meninggal dunia.
“Kwan menggunakan pengetahuannya menyelidik racun untuk melaksanakan rancangannya itu.
“Rancangan tersebut adalah untuk menyamar sebagai jururawat masyarakat, dan datang ke rumah O’Hara yang dikongsi bersama ibunya, untuk menyuntiknya dengan racun berbahaya yang kononnya suntikan penggalak Covid-19,” kata Makepeace.
Beliau berkata, tertuduh juga mendaftar masuk ke sebuah hotel dengan nama palsu, nombor pendaftaran kereta palsu dan memakai rambut palsu untuk melaksanakan rancangan tersebut.


































