Perdana Menteri baharu Jepun, Shigeru Ishiba (depan tengah) bersama anggota Kabinetnya pada sesi bergambar di kediaman rasmi perdana menteri di Tokyo.
TOKYO: Kerajaan Jepun mengaku menyunting gambar rasmi Kabinet baharu untuk membuat anggotanya kelihatan lebih kemas selepas menjadi bahan ejekan di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, gambar yang diambil oleh media menunjukkan seperti tampalan baju putih yang tidak kemas di bawah sut Perdana Menteri, Shigeru Ishiba dan Menteri Pertahanan, Gen Nakatani.
Namun, dalam gambar rasmi yang dikeluarkan oleh pejabat Ishiba, kecacatan tersebut secara misteri hilang.
Bagaimanapun, penyuntingan pada gambar tersebut tidak dapat menghentikan serangan bertubi-tubi di media sosial terhadap kerajaan Ishiba, yang digelar sebagai ‘Kabinet tidak kemas’.
“Ini lebih teruk daripada gambar kumpulan kelab warga emas semasa lawatan ke kolam air panas. Ia sangat memalukan,” tulis seorang pengguna di platform X.
Jurucakap kerajaan, Yoshimasa Hayashi mengakui terdapat suntingan kecil dilakukan sambil cuba mengalihkan kritikan terhadap manipulasi gambar tersebut.
“Foto berkumpulan semasa acara rasmi pejabat perdana menteri, seperti rombakan Kabinet, akan disimpan selama-lamanya sebagai kenangan, jadi suntingan kecil biasanya dilakukan pada gambar ini,” katanya.
































