ANKARA: Mahkamah Turki menjatuhkan hukuman penjara 865 tahun kepada seorang kontraktor pembinaan kerana cuai dalam pembinaan bangunan yang runtuh dalam gempa bumi dahsyat yang melanda tenggara Turki, tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Arab News melaporkan, Hasan Alpargun, dijatuhi hukuman tersebut kerana menyebabkan kematian dan kecederaan dengan niat selepas sebuah pangsapuri runtuh dalam satu kejadian gempa bumi, mengorbankan 96 orang.
Seorang peguam dari keluarga mangsa, Beshir Ekinci memberitahu, sebanyak 34 defendan lagi dijatuhi hukuman penjara 25 tahun setiap seorang selepas disabitkan bersalah kerana tidak mematuhi piawaian pembinaan.
Seramai 96 orang maut selepas blok pangsapuri yang dibina oleh Hasan runtuh di wilayah tenggara Adana pada Februari tahun lalu.
Dua gempa bumi berturut-turut pada 6 Februari tahun lalu, membunuh lebih 60,000 orang di Turki dan negara jiran Syria.
Blok pangsapuri tersebut dibina pada tahun 1975.
Hasan melarikan diri ke Cyprus pada hari gempa, tetapi menyerah diri kepada polis seminggu kemudian.
Semasa perbicaraan, pakar menunjukkan terdapat kelemahan serius dalam pembinaan tiang sokongan bangunan serta kualiti konkrit yang digunakan.
Lebih 260 orang yang terlibat dalam pembinaan bangunan yang runtuh semasa gempa bumi ditahan, dengan beberapa daripada mereka semasa cuba melarikan diri dari Turki.
































