Manshika Prasad (kanan) dinobatkan sebagai Miss Fiji 2024, manakala naib juara adalah Nadine Roberts (kiri).
SUVA: Kegembiraan dikecapi seorang gadis yang dimahkotakan sebagai Miss Universe Fiji tidak bertahan lama selepas kemenangannya dibatalkan, sebaliknya pemenang tempat kedua dinamakan sebagai ratu cantik baharu.
Menurut Utusan Malaysia, Manshika Prasad, 24, pada mulanya diangkat sebagai pemenang selepas menerima undian empat daripada tujuh hakim pada malam kemuncak di pusat peranginan Pacific Island’s Pearl Resort, di sini Jumaat lalu, namun sehari kemudian, model Nadine Roberts dimahkotakan sebagai pemenang sebenar.
Miss Universe Fiji (MUF) dalam satu kenyataan mengesahkan, Roberts akan mewakili Fiji ke pertandingan Miss Universe Ke-73 di Mexico City pada 16 November ini.
Keputusan itu menimbulkan kontroversi mengenai kroni selepas siasatan mendapati syarikat yang memiliki lesen MUF, Lux Project rupa-rupanya mempunyai kaitan dengan seorang ahli perniagaan Australia, Jamie McIntyre yang juga suami kepada Roberts.
Pemilihan model berkenaan sebagai pemenang baharu menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong Prasad dan juri yang menyifatkan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan itu layak bergelar pemenang kerana personalitinya yang menarik.
MUF menyatakan, kemenangan Prasad tidak sah kerana hanya tujuh undi dikira, sedangkan terdapat lapan hakim termasuk seorang yang mewakili Lux Project.
“Itu menjadikan kedudukan Prasad dan Roberts seri dengan masing-masing menerima empat undian,” jelas MUF.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Lux Project menyifatkan penganjur pertandingan, Grant Dwyer gagal mengira undian daripada wakilnya.
Dwyer yang menyifatkan keputusan itu sebagai konspirasi bagaimanapun tidak dapat berbuat apa-apa.


































