Masidi (tengah) bergambar kenangan selepas rancangan Kami Bah Ini.
KOTA KINABALU: Sikap segelintir masyarakat yang mempertikai seruan kerajaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah disifatkan sebagai sesuatu yang amat dikesali.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata pembelian Jalur Gemilang dan bendera Sabah itu hanya perlu ‘mengorbankan’ wang setahun sekali.
“Saya agak terkilan apabila terdapat pihak yang mempertikaikan kewajaran membeli bendera yang harganya cuma RM10 atau RM12 untuk dikibarkan di rumah atau premis.
“Walaupun sambutan sudah cukup baik khususnya di luar bandar, tapi saya agak sedikit terkilan kerana masih ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan kenapa mereka perlu beli bendera RM10, RM12 untuk dikibarkan di rumah, premis dan sebagainya.
“Bagi saya, bendera ini adalah sebagai lambang rasa hormat dan juga patriotisme saya kepada negara, ini yang saya harap setiap tahun kita dapat semarakkan semangat ini supaya pada satu hari nanti orang soal bendera atau membeli bendera tidak dipertikaikan lagi.
“Itu sesuatu yang datang secara semula jadi kerana kita menjadi seorang rakyat yang bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya selepas menghadiri sesi temubual bersama Sabah FM, pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sabah 2024 turut memaklumkan telah menerima permohonan yang cukup tinggi untuk menyertai perarakan pada 31 Ogos nanti.
“Jadi, kita terpaksa menetapkan cuma 180 pasukan saja menyertai kerana untuk memastikan dapat menepati keperluan masa tersebut (tempoh perarakan).
“Pada tahun lepas, kita ada 151 pasukan ataupun kontinjen manakala tahun ini kita ada 180,” jelasnya.
Masidi turut menzahirkan penghargaannya terhadap sambutan yang begitu hangat daripada mereka yang ingin menyertai perarakan nanti dan menganggapnya sebagai manifestasi rasa bangga, rasa sayang kepada negara.
































