Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan di Anugerah Korporat The Edge Billion Ringgit Club – FB Rasmi Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia mempertimbang pelbagai cara termasuk diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik untuk meningkatkan kesepaduan pasaran dua hala dan pelbagai hala dengan negara-negara jiran menerusi kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga akan memudahkan pergerakan barangan, modal, tenaga kerja mahir dan perkongsian teknologi dengan negara jiran melalui melalui yang sama.
Beliau percaya, langkah itu menjadi peluang kepada Malaysia mempromosi ASEAN, saiz dan kekuatan pasaran negara yang disatukan sebagai pusat utama untuk pelaburan dan perdagangan.
“Ini sebagai satu bahagian penting dalam rantaian bekalan global, pusat pelancongan dan perkhidmatan.
“Ini memerlukan ASEAN diselaras dengan lebih baik mempunyai tadbir urus yang progresif untuk memanfaatkan peluang ini,” katanya malam tadi.
Beliau berucap di Anugerah Korporat The Edge Billion Ringgit Club dan makan malam gala di sini.
Dalam pada itu, kata Anwar, kerajaan akan memperkenal insentif cukai yang relevan bagi menyokong dan menghargai syarikat yang menumpukan aktiviti berimpak tinggi.
Berhubung sektor swasta, katanya, kerajaan sedia mengkaji semula dasar dan peraturan jika sektor itu dapat meyakinkan kerajaan yang tindakan tersebut mendorong kepada peningkatan pelaburan, aktiviti ekonomi dan mewujudkan lebioh banyak pekerjaan khususnya untuk golongan muda.
“Kerajaan sentiasa bersedia mendengar pandangan sektor swasta dan mempelawa mereka untuk libat urus dengan lebih kerap.
“Namun, dalam mengetengahkan idea dan cadangan, anda (swasta) perlu mengutamakan usaha kemajuan negara, memikirkan rakyat serta cara untuk membantu mereka,” katanya.
Mengulas berkenaan kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), katanya, permohonan Malaysia menyertai blok itu akan membolehkan negara meneroka pasaran baharu dan meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan.
“BRICS menawarkan peluang yang luas kepada perniagaan Malaysia memandangkan asas sumbernya yang pelbagai.
“Peningkatan akses pasaran ke negara BRICS dijangka memanfaatkan perniagaan terutama sektor minyak sawit, getah dan elektronik memandangkan Malaysia mempunyai kelebihan daya saing,” katanya.


































