Yap Kim Heng (memakai pelitup muka) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, semalam.
KUANTAN: Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah wang Persatuan Bola Keranjang Amatur Kuantan (KABA) berjumlah RM15,950.
Menurut Utusan Malaysia, Yap Kim Heng, 62, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maimoonah Aid.
Mengikut kertas pertuduhan, Kim Heng sebagai seorang ejen iaitu Timbalan Pengerusi KABA didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta iaitu cek bernilai antara RM1,350 hingga RM4,200 milik Dai Sou Nasi Lemak sebagai bayaran sewa dengan menunaikan harta terbabit ke dalam akaun sendiri, isteri dan anaknya dan tidak dimasukkan ke dalam akaun persatuan tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara tahun 8 Mei 2018 hingga 15 Jun 2021 bertempat di RHB Bank Berhad, Jalan Air Putih, di sini.
Kim Heng dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah menawarkan wang jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Tertuduh yang diwakili peguam R. Balabedha memohon wang jaminan dikurangkan berikutan tidak bekerja dan hanya menerima elaun dari kerja-kerja terdahulu perlu menyara seorang isteri yang sakit dan seorang anak yang masih belajar selain dia sendiri yang menghidap masalah jantung.
Peguam justeru memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon pasport diserahkan kepada tertuduh berikutan tertuduh perlu menggunakan pasportnya bagi mendapatkan rawatan jantung di Singapura.
Hakim menetapkan wang jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan wang jaminan dikenakan sebanyak RM18,000 selain menetapkan dua syarat tambahan sebagaimana diminta pihak pendakwaan.
Hakim turut menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.


































