Hajiji (tengah) bersama Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun dalam mesyuarat AMT Gagasan Rakyat di SICC, Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Hasrat untuk melihat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan UMNO/Barisan Nasional (BN) kembali bekerjasama menjelang pilihan raya negeri (PRN) bukan sesuatu yang mustahil.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata: “Tidak ada mustahilnya…dalam politik tiada yang mustahil. Saya yakin, kita boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja.
“Jika dilihat pemimpin UMNO ada dalam kerajaan sekarang. Inilah uniknya Sabah, kalau kita perhatikan dalam barisan Kabinet ada menteri (UMNO) Shahelmey. Walaupun dia digantung dan ada tiga pembantu menteri daripada UMNO yang masih dalam kerajaan.
“Malah, masih ramai lagi (pemimpin UMNO) jadi pengerusi badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tinggi (AMT) Gagasan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Hajiji, yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, pada masa ini GRS bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta beberapa wakil UMNO/BN di peringkat negeri.
“Kita sebut GRS-PH Plus kerana dalam Plus ada wakil-wakil rakyat daripada UMNO/BN yang sokong kerajaan dan masih dalam kerajaan. Kita ada menteri, pembantu menteri UMNO/BN dalam kerajaan sekarang.
“Inilah yang kita mahu..jangan gaduh-gaduh. Kita mahu pastikan kita sama-sama membangunkan negeri kita dan pastikan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kau mini terus memberi kebaikan kepada kita semua,” katanya.
Kata beliau, diharap kerjasama GRS-PH Plus itu akan terus kekal sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Mengulas lanjut katanya, bagi pemimpin UMNO yang menganggap diri mereka sebagai pembangkang, biarlah mereka jadi pembangkang.
Pada PRN lalu, GRS dan UMNO/BN bekerjasama membentuk kerajaan di peringkat negeri sebelum Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengambil keputusan menarik sokongan daripada Hajiji dan kerajaan Sabah pada Januari 2023.
































