Keadaan beberapa bangunan yang rosak selepas gempa bumi kuat melanda Anamizu, Ishikawa pada 2 Januari 2024.
TOKYO: Buat pertama kalinya Jepun mengeluarkan amaran mengenai peningkatan risiko berlakunya gempa bumi besar dalam masa terdekat.
Menurut Utusan Malaysia, amaran itu dikeluarkan pada malam Khamis (waktu tempatan), memberitahu orang ramai supaya berwaspada tetapi tidak perlu berpindah.
Ia menegaskan bahawa amaran itu tidak bermakna gempa bumi besar akan berlaku, tetapi kebarangkaliannya lebih tinggi daripada biasa.
Amaran ini dikeluarkan beberapa jam selepas gempa bumi berkekuatan 7.1 skala Richter berlaku di pulau selatan Kyushu, yang dilaporkan tidak mengakibatkan kerosakan besar.
Namun, pakar berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana pusat gempa berada di pinggir Palung Nankai, kawasan aktiviti seismik yang meliputi sepanjang pantai Pasifik Jepun.
Sempadan plat tersebut terletak antara Teluk Suruga di tengah Jepun dan Laut Hyuganada di Kyushu, selatan negara itu.
Gempa bumi Palung Nankai sebelum ini menyebabkan ribuan nyawa terkorban.
Gempa mega ini direkodkan berlaku setiap 90 hingga 200 tahun, dengan kejadian terakhir pada 1946.
Pakar menjangkakan terdapa 70 peratus hingga 80 peratus kemungkinan gempa bumi berukuran 8.0 atau 9.0 skala Richter melanda suatu tempat di sepanjang palung dalam tempoh 30 tahun akan datang, menurut agensi Berita Kyodo.
Anggaran senario terburuk menunjukkan lebih daripada 200,000 orang mungkin terkorban dalam gempa bumi tersebut dan disusul risiko tsunami.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam meneruskan kehidupan seharian, selain bersedia memeriksa laluan pemindahan serta memastikan bekalan isi rumah mencukupi.






























