Aksi Azizulhasni Awang di Sukan Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menamatkan saingan acara pecut Sukan Olimpik Paris 2024 di pusingan repechage 1/8.
Menurut Utusan Malaysia, pada pusingan 1/8 yang berlangsung di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, Azizulhasni tewas kepada Jeffrey Hoogland dari Belanda dan terpaksa mengharungi pusingan repechage.
Dalam perlumbaan pertama 1/8, Harrie Lavreysen dari Belanda mengesahkan tempat di suku akhir selepas menewaskan pelumba Jepun, Yuta Obara.
Pelumba Australia, Matthew Richardson turut mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya selepas mengatasi Mateusz Rudyk dari Poland.
Hamish Turnbull dan Jack Carlin dari Great Britain serta Kaiya Ota (Jepun) juga layak ke suku akhir selepas memenangi perlumbaan masing-masing.
Pada perlumbaan repechage pertama, Obara menewaskan Leigh Hoffman dari Australia dan Nicholas Paul (Trinidad and Tobago) untuk mara ke suku akhir.
Di perlumbaan repechage kedua pula menyaksikan Rudyk berjaya menewaskan Yakovlev dan Azizulhasni untuk menyertai tujuh pelumba lain di suku akhir.
Selepas berakhir perjuangan dalam cara pecut, tumpuan The Pocket Rocketman dan seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sharum kini beralih kepada acara keirin pada Sabtu ini.


































