Razarudin Husain
PETALING JAYA: Pelacur dari negara-negara Eropah Timur dan China antara wanita warga asing yang menerima bayaran tinggi sehingga RM5,000 semalam, bagi khidmat seks.
Wanita warga asing dalam usia belasan tahun dan bawah 40-an terutama dari Uzbekistan, Mongolia dan Russia antara pilihan kenamaan, ahli perniagaan asing dan tempatan.
Difahamkan, wanita warga asing berkenaan dibayar mahal kerana paras rupa cantik dan bertubuh tinggi lampai selain khidmat seks `pelacur eksklusif’ terbabit dipercayai dilakukan di hotel-hotel dan kondominium.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 28,423 orang ditahan terlibat aktiviti pelacuran untuk tempoh 18 bulan sepanjang 2023 hingga Jun lalu di seluruh negara.
Menurut beliau, siasatan polis mendapati nilai bayaran dikenakan terhadap pelanggan bagi wanita berasal dari negara-negara Eropah Timur antara RM3,000 hingga RM5,000 semalam.
Bagi khidmat seks membabitkan wanita warga China kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 semalam, selain Thailand, Vietnam dan Indonesia turut menjadi pilihan pelanggan terdiri daripada warga asing dan rakyat tempatan.
“Antara pelanggan disasarkan adalah daripada rakyat asing dan ahli perniagaan. Turut menjadi pilihan pelanggan adalah wanita Thailand, Vietnam dan Indonesia. Pelacur dari negara jiran ini dibayar antara RM250 hingga RM800 bagi setiap langganan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, seramai 15,199 individu ditahan pada 2023 manakala 13,224 lagi untuk enam bulan tahun ini melibatkan pelacur, pelanggan dan penjaga.
Beliau berkata, tangkapan tersebut hasil daripada 3,824 serbuan dijalankan pada tahun lalu manakala 1,980 serbuan lagi dilaksanakan dalam tempoh enam bulan tahun ini.
“Seramai 13,648 wanita warga asing manakala 1,295 warga tempatan dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut turut ditahan dalam tempoh terbabit.
“Bagi wanita warga asing, tangkapan tertinggi membabitkan wanita Thailand iaitu seramai 5,150 orang, Vietnam (3,721), Indonesia (1,723) dan China (936).
“Turut ditahan, wanita dari Myanmar, Laos, Bangladesh, Filipina, India, Uganda, Kemboja, Jepun, Uzbekistan dan beberapa negara lain,” katanya.
Mengakui isu pelacuran yang berleluasa di negara ini walaupun pelbagai operasi dilakukan, Razarudin berkata, pihaknya tetap komited mempergandakan serbuan di seluruh negara.
“Pihak polis melalui Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman terus mempertingkatkan operasi dan serbuan.
“Terutamanya di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan bandar-bandar besar,” katanya.
































