Rafizi Ramli
PETALING JAYA: Masih ramai pihak didapati tidak mengetahui bahawa kerajaan sudah menetapkan gaji permulaan baharu yang perlu dipatuhi oleh sektor swasta di bawah Dasar Gaji Progresif (DGP).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan memberi insentif kepada pihak majikan di bawah dasar tersebut bagi menaikkan gaji pekerja swasta.
Menurut beliau, kenaikan gaji tersebut ditanggung oleh pihak kerajaan.
“Ramai yang tidak tahu kerajaan telah menetapkan gaji permulaan yang perlu dipatuhi oleh pihak swasta di bawah DGP.
“Mana-mana majikan yang menaikan tangga gaji ini layak mendapat insentif gaji progresif. yang perlu dibayar kepada pekerja, supaya kenaikan gaji itu ditanggung oleh kerajaan
“Kita ini selalu bising pasal gaji, tapi bila ada peluang untuk naik gaji, kadang-kadang kita tidak gunakan peluang itu sepenuhnya,” kata beliau di akaun X semalam.
Terdahulu, media melaporkan DGP bakal dilaksanakan secara menyeluruh pada Oktober ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pelaksanaan DGP selepas penilaian impak projek rintis GDP selesai dilaksana September ini.
Menurut beliau, projek rintis DGP bermula pada Jun hingga Ogos ini bagi menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan diperlukan sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.
Jelasnya, sebanyak 237 majikan sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai projek rintis tersebut manakala 732 majikan sudah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif.
Sementara itu, Rafizi turut mengkongsikan tangga gaji baharu beberapa jenis pekerjaaan.
“Jurutera mekanikal (RM3,380), jurutera awam (RM3,115), akauntan dan juru audit (RM3,280), ahli nujum (RM2,205) dan juruteknik kejuruteraan awam (RM2,470).
“Untuk senarai penuh gaji permulaan di bawah DGP, muat turun Buku Panduan Gaji Pokok Permulaan dan Kenaikan Tahunan di gajiprogresif.gov.my,” jelasnya.
































