Dr. Sabin Samitah (dua kanan) bersama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir (tiga kanan) semasa pelancaran Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik di Kota Kinabalu Khamis.
KOTA KINABALU: Tiada lagi penggunaan beg plastik dibenarkan di pasar raya dan premis-premis perniagaan di sekitar pusat bandaraya ini bermula semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, Kempen Pengurangan Pengurangan Beg Plastik itu mungkin menimbulkan kesukaran kepada pengguna yang belum biasa membawa beg sendiri namun, penerimaan terhadap kempen tersebut agak baik.
Beliau berkata, kempen itu bermula pada tahun lepas dan pada hari-hari tertentu, tiada beg plastik disediakan di pasar raya. Setakat ini, penerimaan pengguna memang baik.
Jadi, bermula pada 1 Ogos, penggunaan beg plastik tidak lagi disediakan di pasar-pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka mahupun kedai pakaian.
Setakat ini, 858 premis perniagaan mengambil bahagian dalam Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik berkenaan. Maka, tiada beg plastik akan disediakan untuk dijual kepada pengguna di kesemua premis yang terlibat.
“Walau bagaimanapun, penguatkuasaan pengurangan beg plastik tidak melibatkan pasar basah seperti pasar ikan dan pasar daging. Untuk pasar raya yang menjual barangan basah seperti ikan dan ayam, penggunaan plastik putih masih dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat DBKK, Khamis.
Menurut Sabin, premis perniagaan juga mungkin boleh menyediakan atau menjual kotak selain beg untuk memudahkan pengguna mengangkat barangan ketika membeli belah.
Jelas beliau DBKK berharap agar lebih ramai pemilik premis perniagaan di sekitar bandar raya menyokong usaha kempen ini selaras dengan inisiatif mentransformasikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya hijau, berdaya huni dan tanpa plastik.