Kecederaan dialami pegawai dan anggota polis ketika pergelutan dengan suspek kes dadah di sebuah rumah di Teluk Intan semalam. – Utusan/Ihsan PDRM
TELUK INTAN: Seorang pegawai dan anggota polis cedera selepas dilibas dengan parang oleh suspek kes dadah dalam kejadian di Jalan Melati Padang Tembak, di sini Khamis.
Kejadian pada pukul 5.30 petang itu mengakibatkan Inspektor Tie Ngie Sieng luka sepanjang empat sentimeter di tangan kiri manakala Koperal Detektif Mohd. Rasyidi Che Ross pula luka dan putus urat di pergelangan tangan kiri.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerima aduan dibuat ahli keluarga suspek mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah oleh lelaki itu di rumah mereka.
Berikutan aduan itu katanya, sepasukan pegawai dan anggota dibantu Unit Kereta Peronda (MPV) telah datang ke lokasi namun suspek berusia 43 tahun menghalang pihak polis untuk masuk ke rumah untuk menjalankan pemeriksaan.
“Suspek kemudiannya bertindak di luar kawalan dan mengamuk menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan cermin pintu rumahnya pecah.
“Keengganan suspek memberi kerjasama meskipun setelah dipujuk menyebabkan pihak polis terpaksa memotong kunci mangga rumah.
“Bagaimanapun, semasa proses tangkapan dibuat, berlaku pergelutan di antara suspek dengan pihak polis hingga menyebabkan seorang pegawai dan anggota cedera,” katanya di sini kelmarin.
Menurut Azizi, hasil pemeriksaan di dalam rumah telah menjumpai dadah jenis ganja dengan anggaran berat 84.72 gram dan methamphetamine seberat 5.54 gram.
Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Dalam kejadian tersebut, lelaki itu turut cedera dan suspek dibawa bersama pegawai dan anggota polis yang cedera ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.
“Mohd. Rasyidi yang putus urat di pergelangan tangan akan menjalani pembedahan bagi menyambung semula urat yang putus manakala suspek hanya mengalami kecederaan luaran dan masih dirawat di hospital,” ujar beliau.
Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 326, 324 dan 186 Kanun Keseksaan.