PORT DICKSON: Seorang lelaki yang positif dadah ditahan polis selepas dipercayai mencederakan teman wanitanya dan melakukan ugutan jenayah dalam kejadian di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, tangkapan ke atas suspek lelaki tempatan berusia 27 tahun itu dilakukan selepas tular sebuah hantaran di Facebook lebih kurang pukul 12.15 tengah hari Khamis.
“Pemilik akaun itu memaklumkan suspek telah memukul seorang perempuan tempatan yang juga kakaknya dan satu laporan polis telah dibuat mangsa pada pukul 11.44 pagi semalam (Khamis).
“Bertindak atas maklumat, suspek yang merupakan teman lelaki mangsa telah ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson lebih kurang pukul 11.50 malam tadi (1 Ogos 2024) di Bandar Sunggala, Telok Kemang,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.
Jelas Aidi Sham, siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku lebih kurang pukul 9 malam, 28 Julai lalu di Jalan Batu 18 Pasir Panjang di sini selepas mangsa dan suspek dikatakan bertengkar disebabkan isu cemburu.
“Mangsa telah mengalami kecederaan lebam di bahagian muka dan luka kecil di bahagian mulut. Suspek juga telah mengugut adik mangsa untuk menyebarkan gambar milik mangsa,” katanya.
Aidi Sham berkata, hasil ujian air kencing yang dijalankan suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod kes dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Suspek telah dibawa Mahkamah Majistret Port Dickson dan dibenarkan reman selama empat hari sehingga 5 Ogos depan untuk siasatan lanjut,” katanya.
































