Hannah Yeoh
PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meletakkan kepercayaan penuh kepada semua atlet yang bertanding di Sukan Olimpik dalam pemburuan pingat emas pertama di temasya terbesar itu.
Menurut Utusan Malaysia, Hannah berkata dia berharap semua atlet yang ketika ini masih bertanding terutamanya di bawah program Road To Gold (RTG) memberikan aksi terbaik sepanjang temasya itu berlangsung.
“Saya berharap atlet yang masih bertanding untuk memanfaatkan masa yang ada di Paris dengan sepenuhnya kerana setiap hari itu bernilai.
“Saya juga berharap atlet-atlet di bawah program RTG untuk terus yakin kerana mereka sudah berikan yang terbaik,” katanya kepada media selepas menghadiri Larian Amal AEON di Anjung Floria di sini semalam.
Ketika ini dua atlet negara terpaksa pulang awal selepas perenang, Khiew How Yean menamatkan saingan di tempat keempat daripada lapan pelumba selepas mencatat tiga minit 51.66 saat (s) dalam acara saringan 400 meter (m) gaya bebas lelaki.
Penembak negara, Johnathan Wong Guanjie gagal melayakkan diri ke pusingan akhir 10m air pistol lelaki selepas gagal menempatkan dalam lapan peserta terbaik apabila menamatkan saingan kelayakan di tempat ke-26 daripada 33 penembak.
Hannah akan bertolak ke Paris pada 31 Julai ini bagi menyertai kontinjen negara di Olimpik Paris.


































