Nur Dhabitah Sabri akan menggalas cabaran negara di Sukan Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Dua penerjun negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Nur Dhabitah Sabri dan Bertrand Rhodict Lises perlu membuktikan kemampuan masing-masing di temasya terbesar dunia itu.
Menurut Utusan Malaysia, biarpun Dhabitah hanya mengisi slot yang tidak digunakan dalam 3 meter (m) papan anjal untuk acara, ia bukan alasan untuk penerjun senior negara itu beraksi di bawah prestasi sebenarnya.
Bertrand yang membuat penampilan pertamanya di pentas Olimpik dalam acara 10 meter platform individu juga perlu menggunakan peluang keemasan itu untuk mengutip pengalaman untuk dirinya.
Pengarah Teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas berkata, persiapan kedua-dua atlet ini telah memasuki fasa akhir dengan pelbagai strategi di rangka bagi memaksimakan peluang mereka di Paris.
“Kami mensasarkan Dhabitah untuk melangkah lebih jauh berbanding pencapaian sebelumnya. Fokus utama adalah untuk melayakkan diri ke final dan memberi prestasi terbaik di final.
“Bagi Bertrand, Ini adalah Olimpik pertama untuknya. Kami telah menyediakan pelan latihan yang baik, namun terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Yang penting adalah persediaan mental beliau untuk menghadapi tekanan besar di Olimpik.

“Kita tidak mahu Bertrand terlalu tertekan. Ini adalah pendedahan pertama beliau dan kami berharap beliau dapat menyesuaikan diri dengan baik serta mengatasi cabaran yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Bryan berkata, Dhabitah mengalami sedikit masalah dalam persediaannya akibat penjadualan latihan yang tidak konsisten, namun beliau optimis dengan kemampuan ratu terjun itu.
“Kami berharap dengan latihan yang konsisten dan persediaan yang baik, Dhabitah boleh mencapai keputusan yang cemerlang,” jelas beliau.
Acara terjun bakal berlangsung di Pusat Akuatik St. Denis, Paris dengan Dhabitah akan memulakan cabaran pada 7 Ogos diikuti Bertrand dua hari kemudian dalam sesi kelayakan masing-masing.