Jahid (tengah) dan tetamu jemputan lain mengabadikan gambar kenangan bersama para pemegang adat di kawasan Tenghilan.
TAMPARULI: Ketua-ketua adat di sini diseru untuk bersatu padu dalam usaha mengekalkan adat resam dan nilai aset warisan budaya agar dapat dinikmati generasi sekarang dan akan datang.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, warisan adat resam masyarakat tempatan khususnya di kawasan Tenghilan perlu dijaga kerana kepentingan asetnya kepada pembentukan sejarah, tradisi dan amalan serta identiti sesebuah bangsa.
“Institusi mahkamah ini adalah sebuah institusi yang dihormati, kita sentiasa ingin memastikan adat resam kita khususnya di kawasan Tamparuli sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Piulungan Moginakan Mahkamah Anak Negeri (MAN) dan Ketua-ketua Kampung Mukim Tenghilan di perkarangan bangunan MAN Tenghilan, dekat sini, kelmarin.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar dan Ketua Daerah Tamparuli, OKK Jular Harung.
Beliau yang juga ADUN Tamparuli berkata, MAN berperanan penting dalam usaha mengekalkan adat resam serta warisan budaya kerana uniknya di setiap daerah di Sabah mempunyai identiti mereka yang tersendiri, terutamanya dalam soal menyelesaikan urusan perundangan anak negeri.
“Biarlah kita jaga supaya adat resam yang ada di negeri ini diketahui dan menjadi sumber rujukan bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga luar negara kelak,” tambahnya.
Beliau turut menyeru kepada masyarakat agar menjadikan perbezaan kaum dan agama sebagai satu keunikan, terus mengekalkan perpaduan dan kepelbagaian latar belakang sebagai antara aset kekuatan dan keunikan.
Sepanjang program, Jahid turut melawat dan meninjau keadaan di dalam mahkamah tersebut dan diberikan taklimat ringkas mengenai kekurangan dan keperluan mereka di bangunan MAN Tenghilan.
Terdahulu, Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Anak Negeri (KAN) Tenghilan, Selvis Gambar berkata, semua ketua adat perlu bekerjasama dalam memastikan sistem pentadbiran berkaitan adat masyarakat di Tenghilan lebih efisien.
Katanya, sesi perjumpaan tersebut adalah platform terbaik bagi pemimpin dan masyarakat bertukar-tukar pandangan dan mendengar permasalahan berbangkit.






























