Trump melancarkan laman sosialnya sendiri, Truth Social bersama platform media sosial X pada tahun 2022.
WASHINGTON: Gergasi media sosial, Meta mengumumkan akan menghapuskan sekatan yang dikenakan terhadap akaun Facebook dan Instagram bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjelang Konvensyen Kebangsaan Republikan, minggu depan.
Menurut Utusan Malaysia, syarikat itu berkata, keputusan tersebut dibuat untuk memastikan calon Presiden dari Republikan itu, mempunyai kedudukan yang sama seperti Presiden Demokrat, Joe Biden.
“Dalam menilai tanggungjawab untuk membenarkan ekspresi politik, kami percaya bahawa rakyat Amerika seharusnya dapat mendengar dari calon Presiden dengan dasar yang sama.
“Oleh itu, bekas Presiden Trump, sebagai calon dari Parti Republikan, tidak akan lagi dikenakan hukuman penggantungan yang lebih tinggi,” kata Meta dalam kenyataan, semalam.
Akaun Trump di Facebook dan Instagram dipulihkan semula pada awal 2023, berikutan larangan dua tahun susulan pemberontakan 6 Januari 2021.
Pada masa itu, Meta berkata, ia akan menetapkan langkah-langkah tambahan pada akaun media sosial Trump untuk ‘menghalang pelanggaran berulang’.
“Sekiranya Trump menyiarkan kandungan yang melanggar lagi, kandungan itu akan dikeluarkan dan beliau akan digantung antara satu bulan hingga dua tahun, bergantung pada jenis pelanggaran,” kata catatan blog daripada Meta pada Januari 2023.
Terdahulu, Meta berkata, hukuman yang dikenakan terhadap akaun Trump tidak perlu dilaksanakan.
Trump melancarkan laman sosialnya sendiri, Truth Social, pada tahun 2022 bersama platform media sosial X, berikutan penggantungannya daripada Facebook dan Instagram.
































