Shahelmey (kiri) berbual dengan ADUN Kadamaian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kaedah perolehan bagi Fasa 1B Projek Lebuhraya Pan Borneo adalah pra-kelayakan terbuka.
Dengan kaedah ini, katanya, hanya syarikat-syarikat yang layak dalam kriteria pra-kelayakan peringkat pertama dipelawa untuk mengambil bahagian dalam tender peringkat kedua.
Ini akan dapat mengurangkan masa untuk memproses dan penilaian tender, tambahnya.
“Kerajaan komited untuk memastikan projek ini dilaksanakan mengikut perancangan awal iaitu melantik kesemua baki 19 pakej kerja pada tahun ini.
“Empat kontraktor telah dilantik dan telah memulakan pembinaan sejak dari April 2024. Manakala, sebanyak 15 baki pakej kerja bagi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B kini dalam proses penilaian akhir tender pra kelayakan terbuka. Pakej-pakej ini sudah siap dinilai tender dan telah dikemukakan ke pihak Kerajaan Persekutuan.
“Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya Malaysia telah bermesyuarat pada 3 Julai 2024 dan seterusnya akan mengemukakan ke Kementerian Kewangan untuk memuktamadkan keputusan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini.
“Secara keseluruhan dari 35 jumlah pakej bagi Projek Pan Borneo Fasa 1A dan 1B, sebanyak empat pakej sudah siap dibina, 15 pakej sedang dalam peringkat pembinaan dan 16 pakej sedang dalam
peringkat perolehan.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM26.3 bilion bagi menyiapkan 35 pakej kerja Pan Borneo Fasa 1 di mana kos pembinaan secara keseluruhannya adalah dianggarkan sebanyak RM18.5 bilion,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) yang
bertanya apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan proses tender bagi projek Pan-Borneo seperti yang dikatakan Perdana Menteri pada 31 Mei 2024 di Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Negeri Sabah, manakala Calvin Chong Ket Kiun (ELOPURA) meminta dinyatakan bajet serta kos yang terlibat dalam kontrak bagi projek Pan Borneo pada masa kini dan apakah status projek-projek tersebut.
Kepada soalan tambahan daripada Yong iaitu siapakah yang meuluskan/melantik kontraktor yang telah menjalani proses pra-kelayakan, Shahelmey berkata, projek ini adalah projek di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan dan kerana itu tatacara melantik adalah mengikut tatacara yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan hasil perbincangan di antara Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Sabah yang mana dalam proses perolehan ini, kita telah memanggil proses pra-kelayakan.
“Selepas sesi pra-kelayakan dibuat, maka penilaian tender dibuat oleh Jabatan Kerja Raya Sabah. Hasil daripada penilaian tender tersebut, ianya dikemukakan kepada Lembaga Perolehan Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia.
“Hasil daripada Keputusan Lembaga Perolehan tersebut, akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Malaysia untuk Menteri Kewangan Persekutuan memuktamadkan lantikan dan seterusnya nanti proses mengeluarkan lantikan diturunkan.
Kepada sialan tambahan daripada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) yang bertanya adakah proses pelantikan Pan Borneo akan diurus secara tender terbuka secara keseluruhan, Shahelmey berkata, kaedah pra-kelayakan yang telah dilaksanakan adalah berdasarkan tender terbuka.
“Iklan telah dibuat dan seluruh syarikat-syarikat kontraktor yang menepati syarat-syarat mengikuti pra-kelayakan di dalam Malaysia boleh menyertainya.
“Untuk makluman sebanyak 194 buah syarikat telah menyertai sesi pra-kelayakan tersebut antaranya syarikat-syarikat daripada Sabah, Semenanjung dan juga syarikat-syarikat daripada Sarawak.
“Daripada 194 syarikat yang telah menyertai pra-kelayakan secara terbuka tersebut, keputusannya adalah sebanyak 113 syarikat yang telah layak mengikuti tender,” jelasnya
Katanya, pra-kelayakan dibahagi kepada dua peringkat; satu pra-kelayakan untuk dinilai kriteria-kriteria tertentu seperti keupayaan kewangan, teknikal dan juga kebolehan sumber manusia.
“Selepas pra-kelayakan peringkat pertama, maka tender harga telah dipanggil dengan melibatkan 113 syarikat yang telah layak dalam pra-kelayakan tender terbuka tadi.
“Daripada 113 syarikat tersebut, sebanyak 59 syarikat dari Sabah, tujuh syarikat dari Sarawak, 47 syarikat dari Semenanjung telah layak menyertai tender.”