Huyen mahir dalam seni kreatif dan minat melukis.
HANOI: Seorang lelaki dari Vietnam mempunyai hobi pelik menyimpan kuku sejak 33 tahun lalu dan kini kukunya sudah mencecah panjang satu meter.
Menurut Utusan Malaysia, Huyen, 66, berasal dari wilayah Nam Dinh berkata, sejak tiga dekad lalu, dia tidak pernah mencuci tangan kerana bimbang kukunya patah.
Katanya, segala aktiviti harian seperti makan hingga membersihkan diri akan diuruskan oleh isteri dan anak-anak.
Sebagai pelukis, Huyen akan memastikan dia berhati-hati untuk melakukan sesuatu kerana keadaan kukunya yang mudah patah.
Demi menjaga kukunya, sebahagian besar aktiviti Huyen terbatas dan memerlukan bantuan daripada isterinya, Nguyen Thi Thuan.
“Kerana Huyen sangat menyayangi kukunya, dia perlu mengehadkan sentuhan tangan kerana bimbang kukunya akan patah.
“Keadaan itu kadang kala buat saya marah, apatah lagi sewaktu memakai baju kerana kebiasaannya memerlukan sekurang-kurangnya 15 minit,” kata Thi Thuan.
Atas faktor itu, Huyen akan mandi hanya sekali seminggu pada musim sejuk dan dua hingga tiga hari sekali pada musim panas.
































