Hajiji menerima surat jemputan rasmi ke majlis perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak daripada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah semasa menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menerima
kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Induk Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak diketuai oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Selain memberi taklimat persiapan Sarawak, Abdul Karim turut menyerahkan surat jemputan rasmi kepada Hajiji untuk menghadiri majlis perasmian SUKMA XXI Sarawak yang akan diadakan pada bulan Ogos dan Para SUKMA yang akan diadakan sebulan kemudian.
Hajiji berkata, Sabah akan menghantar kontinjen terkuat menyertai SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak bagi memberi saingan hebat kepada negeri-negeri lain termasuk tuan rumah Sarawak.

Hajiji menerima Maskod Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024
daripada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah semasa menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak.
Beliau yakin penganjuran SUKMA kali ini adalah dengan baik kerana Sarawak boleh melakukan yang terbaik.
Sementara Abdul Karim berkata, SUKMA XXI Sarawak hanya tinggal 58 hari lagi dan segala persiapan sudah cukup teratur dengan temasya itu akan diadakan di 9 bahagian Sarawak.
Katanya, Sabah merupakan negeri terakhir yang dikunjungi oleh Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA XXI selepas mengunjungi semua negeri termasuk Negara Brunei Darussalam.
Rombongan Abdul Karim terdiri daripada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah dan Timbalan Menterinya, Datuk Hajah Rosey Haji Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datuk Hii Chang Ker, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan
Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Felicia Tan, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick dan Pengarah
Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Haji Semawi Mohamad.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin dan Pembantu Menterinya, Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Haji Asun.
































