IPOH: Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan dalam keadaan bogel di hadapan sebuah kilang di Laluan Perusahaan Klebang 1, di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat kejadian itu dilaporkan oleh orang awam pada pukul 12.20 tengah malam di mana mendakwa telah berlaku pergaduhan menyebabkan kematian.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota ke lokasi kejadian dan menemukan mangsa terbaring di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mangsa. Pemeriksaan lanjut ke atas badan lelaki itu telah menjumpai kesan luka pada bahagian dada, telinga dan kaki.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat kesan tikaman oleh pegawai perubatan,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, usaha dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, orang yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
“Selain menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508, mereka juga boleh hadir ke balai-balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat,” ujar beliau.


































