Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles
KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) menyokong ketegasan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam memperjuangkan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan kepada Sabah supaya diselesaikan dan disegerakan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusinya, Haji Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles berkata, perkara itu sudah terlalu lama dinantikan rakyat Sabah dan wajar diberikan perhatian serius serta penyelesaian tuntas.
Menurutnya, pendirian Ketua Menteri yang terus membawa isu berkenaan dalam setiap ruang perbincangan dengan Perdana Menteri membuktikan kepimpinan Kerajaan Negeri tidak pernah mengenepikan kepentingan dan hak Sabah.
“Kita melihat Datuk Seri Hajiji sebagai pemimpin yang mengambil berat kepentingan rakyat Sabah. Setiap kali ada ruang bertemu dan berbincang dengan Perdana Menteri, isu hak Sabah termasuk tuntutan 40 peratus ini terus dibawa dan diperjuangkan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah sudah sekian lama menunggu penyelesaian terhadap perkara yang mempunyai asas dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang bukan sekadar membabitkan angka atau kewangan, tetapi hak dan kepentingan pembangunan serta masa depan rakyat negeri ini.
Katanya, PKMB menghargai kesediaan Kerajaan Persekutuan menambah RM1.5 bilion sebagai langkah interim mulai tahun ini, namun rundingan mengenai hak 40 peratus itu perlu terus diperkukuhkan sehingga penyelesaian yang adil, jelas dan berkekalan dicapai.
“Perkembangan ini adalah langkah positif yang perlu diteruskan berlandaskan semangat MA63, Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan rakyat Sabah sebagai asas utama,” katanya.
Yazid berkata, rakyat Sabah tidak mahu isu berkenaan terus berlarutan tanpa penghujung kerana hak itu mempunyai implikasi besar terhadap keupayaan negeri memperkukuh pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan, kebajikan rakyat dan pembangunan luar bandar.
“Kita mahu melihat hasil rundingan ini diterjemahkan kepada tindakan yang nyata. Rakyat Sabah sudah lama menunggu dan sekarang adalah masa yang tepat untuk menyegerakan penyelesaian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah memberikan sokongan kepada usaha Kerajaan Negeri memperjuangkan hak Sabah melalui saluran rundingan dan perlembagaan, selain berharap perkembangan positif hasil Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) menjadi titik tolak kepada penyelesaian lebih menyeluruh berkaitan MA63.
“Harapan kita mudah – apa yang menjadi hak Sabah, biarlah dikembalikan kepada Sabah dan akhirnya manfaatnya dirasai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.
































