James Ratib
KOTA KINABALU (Bernama): Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) digesa memainkan peranan lebih aktif dalam membimbing murid menggunakan Internet secara selamat, berhemah dan bertanggungjawab seiring perkembangan pesat teknologi digital.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata kemajuan teknologi digital memberi banyak manfaat kepada proses pembelajaran namun pada masa sama mendedahkan kanak-kanak kepada risiko termasuk buli siber, penipuan dalam talian, penyalahgunaan maklumat peribadi serta kandungan tidak sesuai.
Beliau berkata usaha memastikan keselamatan kanak-kanak di ruang digital tidak boleh diserahkan kepada pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan PIBG.
“Anak-anak bukan sahaja perlu celik teknologi tetapi juga mesti bijak membuat pertimbangan, berhemah ketika menggunakan Internet dan bertanggungjawab terhadap setiap tindakan mereka di ruang digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ibu bapa perlu mengambil tahu mengenai aktiviti dalam talian anak-anak termasuk aplikasi yang digunakan, kandungan diakses serta pihak yang berinteraksi dengan mereka.
Pada masa sama, James berkata guru dan PIBG perlu membantu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber termasuk langkah melindungi maklumat peribadi, mengenal pasti penipuan dalam talian serta melaporkan sebarang bentuk gangguan atau buli siber.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan literasi digital supaya murid bukan sekadar menjadi pengguna teknologi tetapi mampu menggunakan kemudahan itu secara matang, kritikal dan beretika.
James berkata perkembangan infrastruktur digital di Sabah perlu disertai usaha memperkukuh pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan Internet secara selamat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta rakan strategik berkaitan bagi memperluas pendidikan keselamatan Internet dan literasi digital di sekolah. — BERNAMA
































