Mustapha Sakmud (dua dari kanan) semasa meninjau masalah air yang berlaku di UMS, Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Sembilan telaga tiub (tubewell) yang telah siap dibina di Universiti Malaysia Sabah (UMS) membolehkan kapasiti air yang disalurkan di universiti awam itu semakin bertambah.
Maka, tidak lagi timbul isu UMS langsung tidak menerima bekalan air seperti yang didakwa sehingga kumpulan Suara Mahasiswa UMS ingin mengadakan perhimpunan #KamiMahuAirSabah di hadapan Menara Kinabalu pada 14 Jun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, berdasarkan tinjauan di UMS hari ini, beliau mendapati kesemua sembilan telaga tiub itu telah siap dibina untuk menyalurkan bekalan air ke kolej-kolej kediaman pelajar.
Pembinaan sembilan telaga tiub itu dilakukan menerusi dana yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kementeriannya pada tahun lalu, dan telaga tiub berkenaan mampu mengeluarkan sejuta liter air sehari.
“Kesemua telaga tiub telah beroperasi sepenuhnya untuk membekalkan air ke kolej kediaman. Pengoperasian sepenuhnya bukan bermaksud UMS tidak memerlukan bekalan air daripada pihak Jabatan Air Negeri Sabah (Jans).
“UMS masih bergantung dengan bekalan air daripada pihak Jans untuk kegunaan harian kerana keperluan bekalan air UMS sangat tinggi iaitu antara tiga hingga lima juta liter sehari dengan populasi semasa UMS mencecah sehingga 20,000 orang merangkumi 16,000 pelajar,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan rekod Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS, bagi bulan Januari hingga Mei, purata bekalan air yang diperoleh daripada JANS adalah sekitar tiga juta liter sehari.
Bagi bulan Mei, purata bekalan air yang diperoleh adalah sebanyak 3.5 juta liter sehari berbanding 3.4 juta liter sehari bagi bulan April dan 2.9 juta liter sehari bagi bulan Mac.
Daripada rekod bacaan air tersebut, didapati trend bekalan air yang diperoleh UMS semakin meningkat.
Kata beliau, peningkatan itu menunjukkan kerajaan negeri melalui Jans sangat prihatin dan berusaha untuk memastikan pelajar-pelajar UMS mendapat bekalan air dan tidak mahu mahasiswa terganggu dengan situasi semasa yang berlaku.
Ahli Parlimen Sepanggar itu turut menyarankan pihak UMS mengadakan sesi libat urus bersama mahasiswa terutama Majlis Perwakilan Pelajar UMS supaya maklumat yang tepat dapat disalurkan kepada mahasiswa.
































